Khamis, 27 Februari 2020

8 GOLONGAN YG MEMBANGUNKAN UMMAH πŸ’ͺπŸ’š

*8 GOLONGAN YG MEMBANGUNKAN UMMAH*

Dalam usaha kita membawa kepada kebangkitan kegemilangan Islam, langkah pertama yang  perlu dibuat ialah melihat kepada peranan yang boleh kita sumbangkan untuk Islam. Setiap muslim itu ada tanggungjawabnya yang perlu ditunaikan bagi mengangkat martabat Islam dan meninggikan kalimah Allah mengikut keupayaan dan kemampuan masing-masing.

Menjelaskan konteks memainkan peranan dalam tunggak Ummah Islamiah yang gemilang itu Ustaz Muhammad menggariskan lapan golongan yang utama iaitu:


1. *Pemimpin yang bijaksana*

2. *Ilmu para mujtahid.*

3. *Peluh para ‘amilin (pekerja)*

4. *Doa para solihin*

5. *Darah para syuhada’*

6. *Harta para aghniya’ (orang yang kaya)*

7. *Kehebatan para daie (pendakwah).*

8. *Rahim wanita yang solehah.*

Sejarah membuktikan bahawa ketika Rasul SAW sampai di Madinah, baginda membentuk lapan golongan ini. Memberi contoh beberapa sahabat ketika itu seperti Sayyidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radhialluanhum antara para sahabat yang awal masuk Islam, mengapa mereka tidak banyak meriwayatkan hadith. Ini kerana mereka dibentuk oleh Nabi sebagai pemimpin.

Berbeza dengan Abu Hurairah RA yang masuk Islam ketika di Madinah, tetapi meriwayatkan lebih banyak hadith dari para Sahabat yang memeluk Islam lebih awal sejak di Mekah lagi, kenapa?

 Ini kerana Nabi SAW mahu membentuk beliau menjadi ulama. Sayyidina Abdul Rahman bin Auf RA pula, Nabi membentuknya menjadi pedagang (amylin) yang membangunkan ekonomi Islam, Hassan bin Thabit r.a membangunkan kesusteraan Islam dengan syair dan puisinya.

Juga ada golongan Ahlu Suffah yang duduk beribadah di Masjid.

 Sayyidina Usamah bin Zaid merupakan watak sebagai panglima perang, ketika umurnya 17 tahun telah memimpin satu bala tentera.

Begitu juga peranan para pendakwah seperti seperti Abdullah ibn Ummi Maktum yang buta yang berdakwah sehingga ke Syria dan dimakamkan di sana.

Begitu juga wanita-wanita yang solehah yang melahirkan generasi-generasi yang soleh dan solehah.


Dicoretkan sejarah, Kerajaan Bani Umayyah tumbang ketika lapan golongan ini berpecah. Kerajaan Abbasiah pula bermula dengan menggabungkan lapan golongan ini yang membawa mereka kepada pembinaan ummah ketika itu.

Ketika Monggol melanggar Baghdad, lapan golongan ini juga telah terpecah. Umat menjadi lemah. Kemudian, Uthman al-Ghazi membina kerajaan Uthmaniah dengan menggabungkan lapan golongan ini.


Kemudian Pada 1924, ketika tumbangnya Khilafah Uthmaniah, lapan golongan ini sedang berpecah teruk. Akibatnya musuh Islam dapat menumbangkan mereka dengan mudah dan hasil kekalahan itu, tertubuhnya negara Israel hari ini.


Menghuraikan kepentingan lapan golongan tersebut, perlu dimulakan dengan kumpulan yang asas dalam pembinaan ummah:


1. *Kebijaksanaan para pemimpin.*

Sesebuah Ummah Islamiah ditunggak oleh para pemimpin yang bijaksana. Orang yang pandai adalah orang yang belajar dan orang yang cerdik ialah orang yang banyak menyelesaikan masalah-masalah. Gabungan di antara cerdik dan pandai inilah akan melahirkan orang yang bijaksana. Setinggi-tinggi kebijaksanaan ialah apabila ia di pimpin oleh Allah SWT. Ini kerana segala tindakkannya di bantu oleh Allah SWT dan amat sukar di ramal oleh musuh-musuhnya. Oleh itu kebijaksanaan pemimpin di dalam takrifan Islam adalah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah SWT  Firman Allah SWT  dalam Surah Al-Baqarah ayat 282, “… Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Pemimpin yang bertaqwa akan dipimpin Allah SWT dan sebab itulah, para musuh Islam amat takut kepada lahirnya pemimpin yang bertaqwa ini. Sabda Rasullullah SAW mafhumnya, “Takutlah kamu akan firasat orang-orang yang beriman kerana sesungguhnya dia melihat dengan cahaya (pimpinan) Allah SWT”
Berbeza dengan pemikiran barat pemimpin yang bijaksana, hanyalah gabungan cerdik dan pandai dengan mengetepikan unsur-unsur ketaqwaan. Ini kerana sistem pendidikan mereka sendiri telah dipisahkan daripada agama.

2. *Ilmu para Ulama*

Ummah Islamiah juga didokongi oleh keilmuan para ulamanya yang sentiasa menasihati dan menyampaikan ajaran agama ini. Jika zaman dahulu, para Ulama juga terlibat dengan ilmu sains kemanusiaan seperti Ibnu Sina, Matematik seperti al-Khawarizmi dan sebagainya. Mereka mencipta penemuan-penemuan dan teknologi baru. Ini membuatkan sesebuah Ummah Islamiah itu sentiasa terkehadapan daripada ummah yang lain.
Oleh itu komponen yang kedua ialah ilmu yang dicurahkan oleh para Ulama. Golongan ini perlulah sentiasa mengkaji, meneliti dan rajin menyelesaikan masalah umat. Dengan ilmu yang ada pada mereka, sesebuah ummah itu dapat dibangunkan. Mereka ialah pemikir-pemikir yang membantu para pemimpin menyelesaikan masalah.

3. *Peluh para amilin (pekerja)*

Ummah Islamiah turut didokongi oleh peluh para amilinnya yang sentiasa membangunkan bidang-bidang Fardhu Kifayah dan bidang-bidang kehidupan yang ada di dalam Islam. Ini membuatkan tamaddun Islam itu sentiasa hidup dan terkehadapan dan tiada berlaku kekosongan bidang di dalam Islam.  Semua bidang-bindang kehidupan ada pejuang dan pembangunnya.Golongan ini adalah golongan yang sentiasa bekerja dan berusaha tanpa jemu dan kecewa. Mereka bekerjasama di antara satu sama lain. Hasil daripada sumbangan mereka yang bersungguh-sungguh ini, maka terciptalah tamaddun islam yang amat tinggi itu.


4. *Darah para syuhada’*

Para mujahid yang mempertahankan Islam dengan berani dan taqwa merupakan benteng yang kukuh di dalam Ummah Islamiah. Ini kerana para musuh Islam memang sentiasa berusaha menghapuskan Islam ini sama ada lahiriahnya maupun maknawiyahnya Golongan ini adalah golongan yang mempertahankan Islam apabila Islam di serang oleh musuh-musuhnya. Hasil daripada pengorbanan mereka inilah maka Islam itu dihormati dan tidak dipandang rendah oleh musuh-musuh yang bercita-cita ingin menguburkannya

5. *Doa para solihin*

Golongan ini walaupun zahirnya Nampak kecil peranannya tetapi mereka sebenarnya memberikan sumbangan yang besar. Ini kerana doa mereka sangat diperlukan di dalam pembangunan sesebuah Ummah Islamiah. Golongan ini tidak ramai tetapi tautan mereka dengan sumber kemenangan iaitu Allah SWT sangat rapat.
Golongan ini terdiri daripada tuan-tuan guru, ahli-ahli tareqat, dan ahli-ahli sufi. Walaupun golongan ini nampak sedikit tetapi mereka salah satu daripada komponen sesebuah Ummah. Gabungan daripada usaha yang tersusun dan doa yang berterusan inilah sebuah ummah Islamiah dapat di bina.

6. *Kehebatan para pendakwah*

Mereka adalah orang yang sentiasa ke tengah masyarakat untuk mendidik mereka. Kehebatan para pendakwah hingga mereka pergi ke setiap ceruk dunia untuk membawa kalimah Allah ini. Mereka berjaya mengIslam Nusantara ini dengan perancangan yang hebat dan bantuan dari Allah. Usaha mereka menyebabkan Islam sentiasa mempunyai pelapis di dalam perjuangannya.

7. *Harta para dermawan*

Dengan zakat dan infaq para dermawan dapat  membangunkan masjid, madrasah, memenuhkan Baitul Mal untuk digunakan bagi membela umat Islam dan kekuatan ekonomi diperhebatkan. Golongan ini penting bagi menjadi nadi penggerak masyarakat. Mereka mengorbakankan harta mereka untuk wakaf, untuk aktiviti dakwah dan sebagainya.

8. *Rahim wanita yang solehah*

Peranan wanita amat penting di dalam membangunkan ummah. Ini kerana dari rahim wanita yang solehah inilah generasi yang hebat akan dapat dilahirkan. Bak kata pepatah, tangan yang menghayun buaian akan dapat menggoncang dunia.
Oleh yang demikian, sejauh mana golongan ini dapat di satukan sejauh itulah Ummah Islamiah akan teguh. Dan jika longgar ikatan mereka, maka longgarlah ikatan kekuatan Ummah Islamiah. Oleh itu usaha untuk membentuk kelima-lima golongan ini perlulah dibuat secara terancang dan bersungguh-sungguh.
Apabila di dalam sebuah ummah itu tadi pemimpinnya fasiq dan bodoh, Ulama’nya mengampu dan taqlid, amilinnya (pekerjanya) pemalas dan berkepentingan, mujahidnya penakut, solihinnya hidup berpinggir, orang kayanya kedekut, pendakwahnya tidak hebat dan wanitanya rosak, maka sesebuah Ummah Islamiah itu akan goyah dan akhirnya mengalami keruntuhan dan perpecahan. Jika kita dapat menyatukan golongan-golongan ini maka sudah tentu pembangunan ummah itu dapat di bina kembali. Inilah harapan kita agar bumi Malaysia berjaya melahir dan menyatupadukan lapan golongan ini untuk kembali membina zaman kegemilangan Islam.

# *Kita golongan yg mana*


Sumber: Ikim

2 ulasan:

Terima kasih kerana meninggalkan komen disini ^__^
Maaf jika komen tidak sempat dibalas ye :)
Insha Allah saya akan kunjung balas ke blog anda :D

Mohon kerjasama kepada pemberi komen yg budiman,
Harap tidak meninggalkan pautan diruang komen,
Terima kasih atas perihatin anda :)