Assalamualaikum kekawan... :)
Banyak persoalan yang diiutarakan oleh para wanita yang bekerja di
luar rumah, seperti bagaimana hendak mengatur waktu antara tuntutan kerja dan
tanggungjawab mengurus rumah tangga agar dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Dalam mengatasi pertembungan konflik tugas, tidak dinafikan ramai
juga wanita hari ini mampu menikmati ‘peranan berganda’ itu dengan jayanya.
Namun, ada juga yang merasa sukar hingga akhirnya timbul persoalanpersoalan
rumit yang semakin berkembang dalam kehidupan sehari-hari. Justeru kaum hawa
hari ini perlu bijak menjalankan tanggungjawab kerana status sebagai isteri dan
ibu tidak memungkinkan anda mengelak daripada melakukan tugas di rumah. Ikuti
tip berguna untuk membantu anda melakukan tanggungjawab urus rumah tangga
dengan lebih mudah dan efektif.
MENGEMAS RUMAH
Ikut arah jam
Sekiranya anda ingin mulakan mengemas di sesuatu kawasan, pastikan
anda mengemas mengikut arah jam. Sebaiknya anda mula mengemas di bahagian dapur
dahulu kemudian barulah di ruangan lain. Tetapkan titik permulaan dan ikutlah
arah putaran jam. Cara ini akan lebih sistematik dan mempercepatkan proses anda
untuk mengemas rumah.
Dari atas ke bawah
Untuk mempercepatkan lagi proses anda mengemas rumah, anda
dinasihatkan untuk bermula mengemas dari bahagian atas kemudian ke bawah. Ini
untuk mengelakkan anda membuat kerja yang sama berulang kali. Bayangkan
sekiranya anda bermula mengemas dari bahagian bawah, apabila tiba masa untuk
mengemas bahagian atas pasti kotoran yang anda kemas tadi akan terjatuh. Ini
akan menambahkan lagi kerja anda.
Kurang bergerak
Contoh paling jelas untuk mengurangkan gerakan ialah ketika
mencuci pinggan. Ada baiknya letakkan rak untuk menggeringkan pinggan mangkuk
yang telah dicuci berdekatan dengan singki. Atau jika ruang dapur berkeluasan
terhad, anda perlu mencuci pinggan mangkuk dan sediakan satu bekas untuk mudah
anda mengumpulkan pinggan tersebut. Apabila bekas sudah penuh barulah anda
mengangkat bekas tersebut dan sekali gus mengurus pinggan mangkuk untuk disimpan
di dalam kabinet.
Gunakan bantuan mesin
Masa kini begitu banyak mesin atau gajet yang ada ditawarkan di
pasaran. Seharusnya penggunaan mesin atau gajet dalam tugas membersihkan rumah
harus digunakan sepenuhnya untuk membantu meringankan dan mempercepatkan
tugasan di rumah. Contohnya penggunaan penyedut hampagas, penggunaannya lebih
mudah untuk membersihkan habuk berbanding jika anda menggunakan cara tradisi
menggunakan penyapu.
MEMASAK
Beli perencah segera
Memasak dengan menggunakan sediaan perencah dapat memudahkan anda
memasak dan menjimatkan masa. Kini, terdapat begitu banyak bahan perencah
ditawarkan di pasaran seperti perencah nasi goreng, perencah ayam masak merah
dan banyak lagi hinggalah perencah rendang sekali pun. Semua tersedia untuk anda
memilih dan nikmatinya.
Sediaan bahan resipi lebih awal
Jika ingin menggunakan ramuan sendiri, ia juga tidak menghalang
untuk anda memasak dengan cepat dan mudah. Cuma persediaan bahan perlulah
dilakukan lebih awal dan bukannya ketika ingin memasak. Contohnya, menyediakan
hirisan bawang atau ramuan di malam hari dan disimpan di dalam peti sejuk.
Apabila hendak memasak di pagi harinya, anda boleh terus menggunakan bahan
tersebut.
‘Slow Cooker’- satu pelaburan yang bermanfaat
Ramai wanita hari ini memasak menggunakan ‘slow cooker’ dan
menjadikannya satu alat memasak yang penting dan utama. Anda hanya perlukan
10-15 minit di waktu pagi untuk memasukkan bahan-bahan di dalam ‘slow cooker’
anda, hidupkan dan biarkan sahaja seharian untuk dimasak. Pulang ke rumah, makanan
yang panas telah tersedia.
PRAKTIS 5S DI RUMAH
1. SEIRI – SISIH
Cuba lihat di sekeliling rumah yang penuh dengan pelbagai
barangan. Asingkan yang mana masih boleh digunakan dan yang rosak buangkan
sahaja.
2. SEITON – SUSUN
Susun perabot dan aksesori yang ada secara kemas dan teratur.
Kaedah ini juga akan dapat mengelakkan rumah kelihatan semak dan sesak.
3. SEISO – SAPU
Lakukan pembersihan atau menyapu lantai setiap hari. Jangan tunggu
hujung minggu untuk melakukannya.
4. SEIKETSU – SERAGAM
Walaupun ruang kediaman asalnya berkeadaan bersih dan kemas, ia
pasti akan menjadi berselerak apabila digunakan. Oleh itu, anda perlu
mengulangi seiri, seiton dan seiso untuk memastikan keadaan kediaman sentiasa
bersih dan kemas.
5. SHITSUKE – SENTIASA AMAL
Amalkan sistem 5S secara berterusan hingga menjadi budaya di dalam
rumah. Untuk itu anda perlu mendisiplinkan ahli keluarga yang lain.
Sumber : Majalah pengantin

